Friday , January 19 2018
Home / Ambil Tahu / ‘Dekad Baharu Johor’ harus lebih manusiawi

‘Dekad Baharu Johor’ harus lebih manusiawi

Bendera Daerah Negeri Johor Darul Ta'zimOleh : Za’aba Ibrahim

KINI siapa sangka, lagi dua tahun menjelang tahun 2020, idea wawasan yang diilhamkan oleh Dr Mahathir Mohamad tidak lagi kedengaran, hilang bagai dihembus angin di tengah lautan samudera.

Hilangnya slogan wawasan itu, tidak seperti lagu raya yang sentiasa berkumandang menjelang Aidilfitri, menyebabkan kini suasana dan perasaan untuk menyambut tibanya 2020 juga hilang.

Keadaan ini pastinya kerana Dr Mahathir bukan lagi sebahagian daripada kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN), malah beliau seteru utama mereka.

Saya tidak bercadang untuk bercakap tentang isi wawasan 2020, sebaliknya saya lebih berminat untuk berkongsi dengan pembaca dalam memahami intrik politik Umno/BN.

Negara atau parti

Konsep kesinambungan agenda pembangunan negara tidak wujud dalam kerajaan Umno/BN. Kesinambungan ini terputus kerana intrik politik. Kerajaan Umno/BN tidak mampu membezakan antara matlamat negara dengan politik kepartian.

Kerana itu, Wawasan 2020 hilang sebelum sampai masanya. Pak Lah dan Najib Razak tidak lagi melihat ia sebagai agenda kerajaan yang didukung selama ini. Inilah hipokrasi Umno.

Ini menjadi bukti apa jua gagasan negara yang dinyatakan oleh kerajaan Umno/BN yang memerintah, sebenarnya hanyalah gagasan politik intrik individu atau parti.

Dekad Baharu Johor

Atas premis ini, saya ingin mengupas sebuah lagi hipokrasi dan intrik politik yang digagaskan oleh Menteri Besar Johor Khaled Nordin menerusi “Dekad Baharu Johor” (DBJ).

Sepintas lalu, naskhah DBJ ini cukup lengkap dan manis. Namun apabila disemak, nyata sekali DBJ ini datang dari kerangka pemikiran politik intrik yang sama dan retorik politik yang juga sama.

DBJ mahu mencapai kemajuan sebagai negeri maju dalam abad ke-21. Benda yang masih sama dengan hiasan baharu.

Sama dalam maksud, Khaled dan Umno masih memahami takrifan kemajuan dalam pemikiran politik mereka, iaitu kemajuan memiliki prasarana dan teknologi.

Wawasan 2020 nak tambah lebuh raya untuk kereta, DBJ pula nak landasan untuk kereta api. Wawasan 2020 dan TN50 nak tenaga kerja yang mahir, DBJ pun sama. Tak ada beza pun.

Semua ini cabaran yang berterusan, bukan agenda kemajuan.

Makna kemajuan

Takrifan kemajuan dengan memiliki prasarana dan teknologi ini hanyalah sebahagian erti kemajuan yang sebenar, bukan keseluruhan. Konsep kemajuan ini pada hakikatnya lebih luas lagi: kemajuan akal budi.

DBJ cuba mencipta impian baru. Namun, sayangnya DBJ ini gagal melihat kemajuan yang lebih manusiawi, yang berteraskan kemajuan akal dan budi.

Inti dalam DBJ hanya menampal retorik politik moral dan agama untuk mengabsahkan nafsu serakah mereka menggunakan wang rakyat dan sumber tenaga untuk mencapai kemajuan versi Umno ini.

Jika agama ada Islam versi PAS, maka dalam ekonomi kita ada kemajuan versi Umno.

Dalam DBJ tidak langsung menyentuh keinginan untuk memberi pendidikan dan latihan secara percuma kepada bakat tempatan, sebaliknya ingin mencipta lebih banyak peluang ekonomi berasaskan pendidikan sebagai industri.

DBJ ini juga langsung tidak menyentuh tentang keperluan untuk memberikan penjagaan kesihatan percuma kepada rakyat terbanyak, sungguhpun Johor memiliki rangkaian hospital yang banyak.

DBJ langsung tiada keinginan membuat projek besar-besaran menambah koleksi penterjemahan bahan ilmiah ke dalam bahasa anak watan.

Akses percuma kepada pendidikan dan kesihatan akan menjadi sumber asas yang penting dalam kestabilan ekonomi.

Tetapi kumpulan Khaled menggunakan alasan “tak boleh beri percuma, semua benda ada kosnya”. Inilah takrifan kemajuan pemikiran Umno.

Kemajuan manusiawi

Selain itu, konsep penjimatan tidak menjadi dasar “kemajuan” yang ingin dicapai dalam DBJ. Mereka memahami kemajuan hanya berorientasikan pelaburan wang, manusia dan tanah untuk menghasilkan produk dan bangunan. Itu saja.

Sedangkan kita tahu menerusi pelaburan ke atas dasar penjimatan air, kertas, sampah dan tenaga makna sebenar sebuah kemajuan yang manusiawi.

Mengapakah Khaled tidak memahami konsep ini?

Khaled akan berhujah mempertahankan agendanya menerusi bahan empirikal. Bagi saya DBJ harus lebih manusiawi, ini lebih empirikal. – 19 Disember, 2017.

Mengenai tjadmin

Check Also

lct parlimen

Ekonomi fantasi BN di Johor

Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin mendakwa kerajaan negeri yang dipimpinnya sangat cemerlang daripada ...

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>