Friday , January 19 2018
Home / Ambil Tahu / Detik Cemas Dan Hiba Arwah Aminurashid, Nelayan Muda Kukup.

Detik Cemas Dan Hiba Arwah Aminurashid, Nelayan Muda Kukup.

Laporan ini adalah berdasarkan cerita dari adik ipar mangsa tragedi yang menyayat hati.

IMG-20171215-WA0018

Putra Aminurashid bin Zaidi, berumur 21 Tahun. Seorang anak muda yang digambarkan oleh rakan-rakannya sebagai seorang yang periang dan mudah mesra. Beliau adalah anak sulong dari 5 beradik dalam sebuah keluarga nelayan di Kukup.

Sebagai anak sulong, pastinya anak muda ini bertanggungjawab untuk membantu ayahnya ke laut mencari rezeki buat adik-adik dan keluarganya. Beliau mengenal laut sejak usia muda dan mahir menangkap ikan.

Hingga menginjak umur 21 tahun, kebolehannya mencari ikan diyakini bapanya, hingga bapanya yang lebih mesra dipanggil Wak Jai, tidak ada masalah membenarkan bot beliau digunakan oleh anak sulongnya itu.

Menurut Wak Jai, pada hari kejadian, beliau kurang sihat untuk turun ke laut. Aminurashid yang sudah biasa dengan selok-belok kawasan perairan Pulau Kukup, turun ke laut.

Pada petang yang malang itu, anak muda ini keluar dari rumah sekitar jam 10 pagi ditemani adik ipar bernama Asrul yang lebih tua usianya dari Aminurashid.

Asrul 39 tahun yang telah mengahwini adik perempuan Aminurashid, turut bersama pada pagi Jumaat ditemani oleh seorang lagi adik Aminurashid, Azizul Hakim yang berumur 13 tahun.

Asrul menceritakan kembali bagaimana pagi itu dia bersama abang dan adik iparnya, bergerak menaiki bot dari jeti Kukup. Aminurashid tenang mengemudi bot ayahnya menunju ke Pulau Kukup yang jaraknya cukup dekat, kurang 1 kilometer dari pantai.

Dari tiga orang ini, hanya Aminurashid yang mahir dengan laut dan mengendalikan bot. Asrul bukan nelayan dan tidak mahir mengendalikan bot, malah Asrul tidak tahu berenang. Manakala adiknya Azizul yang berumur 13 tahun yang bertubuh kecil juga tidak terlatih sebagai seorang nelayan seperti abang sulongnya Aminurashid.

Menurut Asrul, cuaca cukup baik sepanjang pagi hingga lewat tengahari. Aktiviti menangkap ikan berjalan seperti biasa.

Namun, Asrul mula mabok laut pada sekitar 11 pagi dan selepas itu Azizul Hakim pula mabok laut pada sekitar jam 1 tengahari. Nyata sekali kedua mereka tidak biasa dengan laut sungguhpun ombak hanya sederhana.

Pada sekitar jam 4 petang, hujan renyai mulai turun bersama angin dan ombak yang sekali sekala mulai besar, namun bagi Aminurashid itu perkara biasa sebagai nelayan dalam menghadapai cuaca yang tidak menentu ditengah laut. Mereka bertiga terus menangkap ikan seperti biasa. Asrul yang masih terasa lagi pening-pening kepala akibat mabok laut, terus membantu abang iparnya itu.

Ketika hujan renyai dan angin semakin kuat, Aminurashid yang menjadi ketua sibuk mengarahkan adik iparnya Asrul memasang kanvas untuk melindungi Azizul Hakim yang masih lemah kerana mabok laut.

Ketika itu, Aminurashid pula sedang membetulkan jaring yang tersangkut dikipas enjin botnya. Asrul melihat abang iparnya terkial-kial meleraikan tali yang tersangkut itu.

Dari cerita Asrul, ketika itu angin mula bertiup agak kuat dan laut mula berombak menghentam bot mereka bertiga. Dalam keadaan yang masih terkesan dengan mabok laut, Asrul terhuyung-hayang membentang kanvas untuk melindungi adik kecilnya dari hujan dan angin.

Pada ketika itulah satu ombak yang agak keras menghempas bot mereka hingga terasa dilambung kuat. Sekonyong-konyong terdengar bunyi deburan air dibelakang bot.

Asrul yang sempat mengerling Aminurashid dari tadi, dapat melihat abang iparnya itu terhumban ke laut. Menurut Asrul, selepas terjatuh, abang iparnya masih boleh terapung dan jaraknya cukup dekat dengan bot, lebih kurang 1 meter sahaja.

Asrul pun bergegas ke belakang bot berhampiran enjin untuk mendapatkan abang iparnya. Ketika itu hujan telah turun bersama angin dan laut yang mula bergelombang.

Dari belakang bot itu, Asrul cuba mencapai tangan abangnya, dia berjaya tetapi genggamannya terlepas beberapa kali kerana hentaman ombak yang semakin kuat. Aminurashid yang ketika itu masih berupaya mengapungkan diri mula ditolak semakin jauh dari bot kecil mereka.

Ketika inilah menurut Asrul, beliau menjadi panik apabila jarak antara bot dengan Aminurashid sudah melebihi 1 meter dalam waktu yang cukup singkat.

Aminurashid kelihatan bekerja keras berenang untuk merapati bot tetapi renangan itu kelihatan sukar melawan ombak.

Dalam keadaan cemas, Aminurashid mengarahkan Asrul untuk terjun bersama jaket keselamatan dan mencapai tangannya.

Ketika mendengar arahan abang iparnya itu, Asrul tergamam kerana beliau tidak tahu berenang. Dia terkaku dan merasa gerun melihat ombak.

Aminurashid terus melaung kepada Asrul dan memberi arahan untuk segera mencampakkan tali dan jaket keselamatan kepadanya.

Asrul menurut arahan abang iparnyanya tanpa berlengah. Ketika itulah, kelihatan Aminurashid mula menampakkan keletihan melawan ombak dan arus yang semakin kuat.

Tanpa berlengah, Asrul melemparkan tali dan jaket keselamatan kepada Aminurashid. Tetapi dua kali balingannya gagal dicapai oleh Aminurashid, Asrul merasa cukup hairan kerana jaraknya dengan kedudukan abang iparnya hanya sekitar 3 meter sahaja.

Asrul tak putus asa dan melontarkan tali dan jaket keselamatan buat kali ketiga dengan kudrat tenaga sekuatnya. Ketika lontaran ini, Aminurashid semakin jauh dari bot mereka, ini membuatkan Asrul semakin cemas.

Dalam keadaan kelam kabut itu, Aminurashid masih berupaya melaung dan memberi arahan kepada Asrul supaya menghidupkan enjin bot dan pergi kepadanya dengan segera.

Asrul menjadi bertambah panik kerana beliau tidak tahu mengendalikan bot. Dalam keadaan cemas itu, adik kecilnya, Azizul Hakim yang masih lemah bangun membantu Asrul hingga mereka berjaya menghidupkan enjin bot.

Menurut Asrul, walaupun enjin sudah berjaya dihidupkan, bot mereka masih tidak dapat bergerak kerana dia benar-benar tidak tahu bagaimana mengemudikan bot.

Apabila dicubanya memulas throttle enjin, bot masih gagal bergerak dengan betul dan ikatan tali jaring masih terlekat di kipas bot, lebih menyukarkan bot untuk bergerak dengan betul.

Setiap kali Asrul memulas throttle bot, bot melambung tidak tentu arah. Ketika ini, Asrul mendapati kedudukan mereka sudah semakin jauh dari Aminurashid. Jelas kelihatan pada masa itu, Aminurashid semakin keletihan dihempas ombak.

Namun Asrul tidak berputus asa, dia terus berhempas pulas mengemudikan bot untuk mendapatkan abang iparnya. Ketika terkial-kial itu, Asrul terlihat sebuah bot nelayan yang berhampiran dan dia terus melambai-lambai tangan meminta pertolongan.

Bot nelayan yang satu itu dapat melihat isyarat tangan Asrul yang meminta tolong. Namun, pergerakan bot itu tidak cukup pantas.

Sementara menunggu bot nelayan itu tiba, Asrul terus cuba mengemudikan botnya. Usahanya itu mula berhasil apabila bot yang tidak tentu arah itu semakin lama semakin mendekati kedudukan Aminurashid.

Menurut Asrul, ketika bot mula menghampiri Aminurashid, abang iparnya itu sudah tenggelam timbul dalam ombak dan angin yang semakin kuat. Suara abang iparnya sudah tidak lagi kedengaran walaupun jarak masa tidak begitu lama.

Beberapa minit kemudian, botnya berjaya merapati ke kedudukan Aminurashid dalam jarak sekitar 2 meter sahaja lagi. Dalam saat yang meruncing itu, mata Asrul dapat melihat abang iparnya tenggelam dalam sekelip mata.

Asrul tergamam, bot yang tidak tentu arah itu kini sudah pun berada betul-betul ditempat Aminurashid terapung beberapa saat tadi, tetapi Aminurashid sudah tidak lagi kelihatan dipermukaan laut.

Ketika itu, kaki dan tangan Asrul mula mengelatar ketakutan. Bot mereka terus terumbang-ambing dilambung ombak.

Selang beberapa minit, bot nelayan lain yang dipanggil Asrul sebentar tadi sudah pun tiba. Nelayan itu terus mencari-cari Aminurashid di sekeliling kawasan itu tetapi Aminurashid gagal timbul kembali.

Asrul masih ingat, lebih kurang setengah jam mereka menunggu disitu, hujan dan ombak mulai reda, namun Aminurashid tidak lagi kelihatan.

Nelayan lain yang berada disekitar kawasan itu telah tiba untuk membantu mencari Aminurashid.

Setelah lama menunggu, seorang nelayan telah mencadangkan agar Asrul segera pulang ke pengkalan untuk membuat laporan dan meminta bantuan. Namun Asrul memberitahu bahawa beliau tidak tahu mengendalikan botnya untuk pulang ke pangkalan.

Lalu bot mereka diikat dan ditunda oleh beberapa orang lagi nelayan yang sudah tiba. Sampai di jeti, keadaan Asrul menjadi lemah dan tidak mampu berdiri, beliau dan adik iparnya dipapah oleh nelayan yang berada di jeti.

2 hari kemudian, jasad Aminurashid telah ditemui terapung ditempat dia hilang pada sekitar jam 1.45 petang, Ahad 17 Disember. Operasi pencarian yang berjalan selama 3 hari bermula pada hari jumaat, telah dihentikan.

Asrul mengakhiri ceritanya dengan linangan air mata yang tidak henti-henti. Dia merasa amat kecewa kerana gagal membantu menyelamatkan abang iparnya. Dalam keadaan trauma itu, rakan-rakan yang ada telah membantu mententeramkan perasaan Asrul. Semua ini adalah qada dan qadar dari Allah.

Al fatihah buat anak muda, Putra Aminurashid Bin Zaidi. Moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang dikasihi Allah. Pengorbanan beliau buat keluarga, tiada tolok bandingnya.

Al Fatihah.

Mengenai tjadmin

Check Also

lct parlimen

Ekonomi fantasi BN di Johor

Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin mendakwa kerajaan negeri yang dipimpinnya sangat cemerlang daripada ...

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>