Monday , September 25 2017
Home / Ambil Tahu / Serang projek pembangunan Pulau Pinang, kerajaan BN tidak pernah adil

Serang projek pembangunan Pulau Pinang, kerajaan BN tidak pernah adil

mazirSecara prinsipnya kerja-kerja penambakan laut bagi tujuan pembangunan komersil oleh mana-mana kerajaan, bukanlah suatu hal yang salah. Namun, semua pelan dan perlaksanaan projek-projek ini perlu mematuhi peraturan berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada, baik undang-undang (negeri dan persekutuan) meliputi alam sekitar, laut, tanah dan lain-lain.

Undang-undang dan prosedur ini telah diperuntukan bagi setiap agensi yang berkaitan, di peringkat negeri dan persekutuan bagi memantau dan menguatkuasakan undang-undang.

Seharusnya premis ini sudah menyatakan dengan jelas, bagaimana sesebuah projek ini harus diuruskan.

Tetapi baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi amaran untuk menghentikan projek penambakan laut di Pulau Pinang. Kenyataan Perdana Menteri ini adalah komen politik, ia dinyatakan atas premis politik, bukan suatu arahan bertulis yang mengikut proses dan sistem sedia ada.

Hujah beliau mengatakan projek penambakan laut di Pulau Pinang ini akan menjejaskan ribuan nasib nelayan cukup pelik, kerana hujah yang sama patut dinyatakan di negeri Johor. Projek penambakan laut di Selatan Johor, baik di Pengerang, Selat Johor dan Tanjung Piai yang jauh lebih besar, terlebih dahulu memberi kesan besar terhadap masa depan rakyat, khususnya ribuan nelayan pantai.

Walau bagaimanapun, secara prinsipnya saya bersetuju dengan Najib bahawa nasib para nelayan Pulau Pinang perlu mendapat pembelaan sewajarnya, sama dengan pendirian saya dengan nasib nelayan di Selatan Johor.

Namun, kaedah Perdana Menteri melayani projek di Pulau Pinang cukup berbeza dengan cara beliau melayani projek penambakan laut di Johor, negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional (BN).

Beliau menyasarkan projek penambakan laut di Pulau Pinang adalah atas sikap politik. Sungguhpun beliau Perdana Menteri, setiap kata-kata, baik janji atau arahan haruslah mengikut proses-proses yang telah diperuntukkan kepada agensi yang mengawal selia projek tersebut.

Beliau harus sedar bahawa beliau bercakap atas kapasiti Perdana Menteri, bukan kapasiti Presiden UMNO atau Pengerusi BN yang ingin memancing undi.

Saya menyeru kepada semua agensi baik di peringkat Persekutuan dan negeri yang menyelia dan memantau semua projek pembangunan penambakan laut, baik di Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Kedah agar melaksanakan tugas mereka mengikut peraturan yang telah ditetapkan, bukan berdasarkan kenyataan politik seseorang.

Saya menghormati projek-projek penambakan laut oleh mana-mana negeri selagi ia terus mematuhi proses yang ditetapkan. Kritikan saya terhadap projek penambakan laut di Selatan Johor selama ini juga konsisten dengan hujah tentang pematuhan undang-undang dan kesan terhadap masa depan golongan terbabit iaitu nelayan.

Isu yang sering timbul apabila projek dilaksana tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar, projek dimulakan tanpa menunggu laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (Enviromental Impact Assesment – EIA).

Saya mengambil kesempatan ini untuk mendesak kerajaan Persekutuan untuk meneliti kembali beberapa mekanisme proses penilaian kesan alam sekitar (EIA) ini bagi tujuan memperbaiki kelemahan di jabatan-jabatan terbabit. Sebuah jawatankuasa terpilih di peringkat parlimen harus ditubuhkan meliputi wakil dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan, wakil agensi dan kementerian dan dalam kalangan profesional.

Secara prinsipnya, prosedur EIA merangkumi tiga perkara asas iaitu;

i. Penilaian Awal terhadap aktiviti-aktiviti yang ditetapkan.
ii. Penilaian Terperinci terhadap semua aktiviti yang ditetapkan yang mana kesan-kesan tertinggal alam sekitar yang ketara sepertimana yang telah diramalkan dalam Penilaian Awal.
iii. Laporan-Iaporan Penilaian Awal dan Terperinci dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk kelulusan sebelum projek dilaksanakan.

Antara beberapa aspek penting yang harus dilihat adalah mekanisme ialah proses perlantikan syarikat perunding bagi membuat penilaiain dan laporan EIA.

Pemilihan syarikat perunding ini sangat kritikal bagi memastikan syarikat perunding tidak dibebani isu politik oleh mana-mana pihak.

Syarikat ini seharusnya menumpukan tugas mereka terhadap proses itu sendiri. Ini untuk memastikan laporan EIA itu telus dan bersandarkan pada fakta yang asli.

Selain daripada itu, penambahbaikan pada prosedur-prosedur ini akan menjustifikasikan kos yuran (fee) bagi perunding terbabit.

Yuran ini dikatakan terlalu tinggi kosnya, sedangkan jangka masa yang diberikan kepada mereka amat singkat. Ini boleh membuka ruang kepada manipulasi data kajian penilaian impak alam sekitar tersebut kerana ingin mengejar masa.

Pada masa sama, kelemahan daripada aspek birokrasi dan penglibatan agensi dan pihak awam, harus disemak kembali bagi memastikan kajian dan penilaian tersebut dijalankan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Ini juga berkait rapat dengan jumlah kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang tidak mencukupi. Tanpa kapasiti yang mencukupi, JAS tidak akan dapat melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.

Dengan maksud lain, reformasi terhadap prosedur ini perlu dilakukan bagi kedua pihak iaitu pihak kementerian atau jabatan (contoh: JAS) dan juga pelaksana projek (pemaju) yang melibatkan pihak ketiga iaitu syarikat perunding dan teknikal.

Saya menggesa kepada semua pihak agak melihat dan melayan projek-projek pembangunan ini secara objektif, bukan secara politik. Kita tidak mahu rakyat seperti golongan nelayan ini menerima kesan teruk dan kekal dari projek-projek ini, baik di Johor, Pulau Pinang dan negeri-negeri yang lain pada masa ini dan masa hadapan.

Kita juga tidak mahu apa-apa projek yang berguna untuk rakyat terbantut gara-gara kita keliru bagaimana sesebuah projek itu harus dilaksanakan.

Saya berharap, pemikir-pemikir ekonomi dapat mencari alternatif yang praktikal bagi menjamin kelestarian pembangunan bukan sahaja kepada golongan nelayan, tetapi ekonomi dan rakyat secara keseluruhannya.

Jika sukan dapat menyatukan semua rakyat tanpa mengira parti politik, seharusnya pembangunan ekonomi juga boleh menyatukan pandangan kita agar kepentingan rakyat dapat dibela dengan adil.

Namun, berdasarkan kenyataan Najib Razak ini, nyata sekali kerajaan BN tidak pernah mahu berlaku adil kepada kerajaan yang diperintah Pakatan Harapan.

Mengenai tjadmin

Check Also

Picasa_37

Amalan Politik Kita Membebankan Rakyat

Oleh : Mahdzir Ibrahim Premis Awam Saya merasa agak terganggu dengan perkembangan budaya politik muttakhir ...

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>