Saturday , November 18 2017
Home / Ambil Tahu / Ulasan Filem ‘Arrival’ : Penterjemahan Diplomasi dan Perundingan Antarabangsa

Ulasan Filem ‘Arrival’ : Penterjemahan Diplomasi dan Perundingan Antarabangsa

20161020171048!Arrival,_Movie_Poster“[…] beginnings of diplomacy occurred when the first human societies decided that it was better to hear a message than to eat the messenger.” – Hamilton and Langhorne, 2000:7

Filem ini terus kepada subjeknya – begitulah dapat disimpulkan dari pada komentar yang dinyatakan oleh teman beberapa ketika apabila layar panggung memainkan babak permulaan filem Arrival.

Komentar tersebut merujuk kepada babak kuliah yang dikendalikan oleh Louise Banks ( lakonan Amy Adams – watak pada kali ini Nampak berbeza dengan Amy Adams yang pernah saya tonton di dalam filem Enchanted dulu ) sebagai linguistic tergendala setelah dimaklumkan tentang kehadiran kapal makhluk asing di ruang udara negeri Montana, Amerika Syarikat dan di beberapa ruang udara merata dunia – 12 buah jumlah keseluruhannya.

Penghadaman bermula sebaik Louise Banks bersama Ian Donnelly ( ahli fizik ) menyertai kumpulan misi tentera bagi merungkai kehadiran kapal makhluk asing berkenaan – selaku kuasa hegemoni dunia, kepentingan nasional Amerika Syarikat kini dalam ancaman.

Teknik imbas kembali yang pada akhirnya merupakan imbas hadapan merupakan satu pengalaman yang mengujakan apabila selesai menonton filem ini – satu kepuasan. Pengalaman menghadam naskah Arrival ini sama seperti menonton filem Inception, Pulp Fiction, dan beberapa filem yang saya fikir memuaskan.

DIPLOMASI: SENJATA YANG DITAWARKAN

Merujuk kembali kepada petikan yang mengawali makalah ini, diplomasi merupakan pendekatan dan bahasa yang penting di dalam hubungan antarabangsa. Sekaligus meletakkan segala asset ketenteraan sebagai langkah paling akhir bagi meredakan sesebuah konflik global.

Meskipun pemaknaannya kabur, namun diplomasi secara asasnya merupakan satu amalan dalam menjalankan perhubungan dan perundingan antara Negara secara damai melalui pendekatan menang-menang – non-zero sum game; sebagaimana yang disebut Louise Banks menjawab pertanyaa anaknya, Hannah melalui imbas masa hadapannya.

Komunikasi – elemen penting dalam diplomasi telah digunakan oleh Louise Banks untuk merungkai kehadiran makhluk asing di ruang udara Montana. Heptapods merupakan bahasa simbol yang telah digunakan oleh makhluk asing berkenaan yang Ian Donnelly gelarkan sebagai Abbott dan Costello.

Himpunan simbol heptapods yang digunakan oleh Abbott dan Costello dalam menyampaikan mesej mereka dan diterjemahkan oleh Louise Banks dan Ian Donnelly dilihat sebagai terjemahan sejarah proses komunikasi melalui pendekatan diplomasi – merujuk kepada dokumen diplomatik yang pertama bertarikh sekitar 2500 sebelum Masihi dan dikenali sebagai Ebla Tablet (Cohen dipetik daripada Meslissin, 1999:3).

Konflik sengit muncul melalui babak pemutusan komunikasi antara negara yang terlibat termasuk sekutu Amerika Syarikat seperti Jepun apabila terjemahan heptapods tentang penawaran senjata dilihat sebagai ancaman. Pendekatan realisme telah digunapakai dan perlawanan antara kuasa dunia jelas digambarkan di dalam babak ini dengan melibatkan Amerika Syarikat dan China; dua kuasa yang sedang berlawan pada ketika ini.

Langkah memutuskan komunikasi di dalam babak berkenaan dilihat sebagai langkah realisme demi menjamin kepentingan nasional Amerika Syarikat dengan menghentikan perkongsian segala maklumat yang menguntungkan sesebuah pihak sahaja – dan dalam konteks ini semestinya menjurus kepada musuhnya, China.

Senjata yang dinyatakan oleh Abbott dan Costello dapat disimpulkan sebagai merujuk kepada bahasa dan komunikasi yang wajar digunakan oleh masyarakat dunia bagi menyelesaikan segala konflik global di dalam situasi menang-menang (non-zero sum game).

Ebla Tablet, sebagaimana yang digambarkan sebagai heptapods di dalam filem ini telah ditafsirkan oleh Cohen ( dipetik daripada Melissin, 1999:3 ) sebagai komunikasi diplomatic dengan merujuk kepada nota diplomatik pertama di dunia yang telah dihantar oleh negara Ebla kepada Negara Hamazi.

Di dalam nota tersebut, Cohen menterjemahkannya sebagai perundingan yang memenangkan kedua-dua negara dengan manfaat yang dicapai bersama serta mengakui kewujudan kedua-dua negara.

Sebagaimana Ebla Tablet, heptapods yang diketengahkan di dalam filem Arrival merupakan mesej yang cuba disampaikan bagi mengangkat diplomasi sebagai saluran keamanan sejagat di kala dunia sedang berhadapan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global.

Klimaks filem ini menyaksikan saluran diplomatic mampu mematahkan pendekatan realisme dalam menangani pertelagahan global. Penghujung konflik dalam filem ini pula meyakinkan kita bahawa pendekatan idealisme dan teori organisasi antarabangsa – seperti pembentukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ( PBB ) merupakan saluran diplomatic antarabangsa yang terbaik bagi menyelesaikan konflik global seterusnya mengekang berlakunya peperangan.

Diplomasi dan keamanan adalah mesej yang dapat disimpulkan sebaik selesai menonton filem Arrival seminggu yang lalu.

Penceritaan yang baik disampaikan di dalam filem ini di kala perlawanan kuasa dunia sedang mula dirasai dan pastinya, peperangan dingin yang kita akui sudah berakhir pada 1990-an lalu sebenarnya masih berlangsung selari dengan pendapat segelintir sarjana.

 

Oleh Muhammad Ariff Mohamad Nizam

Graduan Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial, UNIMAS

[Berkicau di laman Twitter; @ariffnizam]

 

Mengenai tjadmin

Check Also

image

Serang projek pembangunan Pulau Pinang, kerajaan BN tidak pernah adil

Secara prinsipnya kerja-kerja penambakan laut bagi tujuan pembangunan komersil oleh mana-mana kerajaan, bukanlah suatu hal ...

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>