Saturday , November 18 2017
Home / Borak Jalanan / Pemeliharaan Marin, BN Hanya Bercakap, Tapi Tin Kosong – Vincent

Pemeliharaan Marin, BN Hanya Bercakap, Tapi Tin Kosong – Vincent

vincentTJ : Ceritakan sedikit latar belakang sdr. Berkuliah dimana dan sebagai apa sebelum menyertai politik?

YB Vincent : Saya merupakan graduan Australian National Universiti, Canberra, Australia dalam jurusan Akauntansi dan Ekonomi. Sebelum menceburi politik, saya menguruskan perniagaan keluarga di Muar, Johor

TJ : YB dilihat ada mengetangahkan isu-isu berkaitan alam sekitar didewan negeri Johor, boleh YB jelaskan, apa isu sebenar di Johor berkaitan alam sekitar? dan apa rancangan YB jika PH berjaya menguasai Johor kelak?

YB Vincent : Isu alam sekitar di Johor memerlukan perhatian dan pemantauan adalah tambakan laut yang berlaku di Pengerang dan Pulau Merambong yang berdekatan dengan projek Forest City. Tambakan laut ini telah menyebabkan hasil laut semakin berkurangan ekoran daripada terjejasnya rumpai-rumpai laut yang merupakan sumber makanan hidupan laut seperti ikan dan sebagainya. Untuk rekod, Pulau Merambong merupakan kawasan yang mempunyai rumpai laut terbesar di dalam negara kita.

Oleh kerana hasil yang semakin berkurangan, pendapatan nelayan turut menerima impak. Jika dahulu nelayan boleh meraih pendapatan sehingga RM 3,000 sebulan, sekarang tidak lagi. Sebab itulah, Kerajaan Negeri membayar pampasan sebanyak RM 1,000 pada tahun 2015 dan kemudiannya ditingkatkan kepada RM 2,000 pada tahun 2016. Tetapi adakah ia berpadanan dan mencukupi jika dibandingkan dengan kehilangan pendapatan bulanan berjumlah sehingga RM 3,000?

Apabila saya memperjuangkan isu alam sekitar terutamanya pemuliharaan dan pemeliharaan hidupan laut, pastinya orang akan mengatakan bahawa saya bersifat konservatif. Namun hakikatnya, saya bukanlah menolak sebarang bentuk pembangunan. Pembangunan yang ingin dirangka perlulah seimbang dengan pemuliharaan dan pemeliharaan ekosistem laut. Begitu juga pemuliharaan dan pemeliharaan ekosistem laut ini perlu dibuat dengan seimbang. Ia tidak boleh meminggirkan mana-mana pihak atas nama kononnya untuk memelihara dan memulihara laut.

Apabila kita merancang apa juga projek pembangunan adalah tidak wajar jika kita tidak melibatkan kesemua pemegang taruh. Semasa perancangan untuk membangunkan Carribean of the East, adakah Kerajaan Negeri melibatkan pemegang taruh ( Stake Holder ) termasuk nelayan, penduduk tempatan dan operator pelancongan dalam setiap perbincangan dan perancangan? Mereka-mereka ini terlibat secara langsung dalam aktiviti ekonomi kerana mereka mendiami pulau-pulau tersebut. Mereka perlu mendapat sedikit impak daripada pembangunan.

Satu lagi perkara adalah berdasarkan kepada satu laporan Water Quality Assesment of Marine Park In Johor yang dijalankan oleh Jabatan Sains Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia pada tahun 2015, 3 sebab utama pencemaran telah dikenalpasti iaitu, sisa pepejal, pengawet kayu yang digunakan ke atas bot dan struktur di pulau, aktiviti perkapalan seperti kebocoran minyak dan pencemaran termal yang diakibatkan daripada perubahan iklim global. Analisis ini turut melibatkan pulau-pulau di Taman Laut Sultan Iskandar.

Laporan yang saya sebutkan tadi telah menyatakan bahawa aktiviti pencemaran yang utama adalah kekurangan pengurusan sisa pepejal dan pembentungan yang berintegrasi telah meningkatkan paras bakteria E-Coli, Minyak dan Gris, dan Logam Berat dalam air di kawasan tersebut. Jadi, jika kita berhasrat untuk membangunkan Carribean of the East, kita sepatutnya terlebih dahulu mengatasi 3 punca pencemaran ini. Perubahan iklim global mungkin diluar capaian kita tetapi 3 punca ini boleh dikawal. Jika kita bercakap mengenai pemuliharaan dan pemuliharaan marin pun kita harus akui bahawa kita perlu meningkatkan sistem sisa pepejal di kawasan taman laut tersebut.

Namun begitu, Kerajaan Negeri lebih berminat untuk mensasarkan kumpulan penyelam sahaja. Walhal, penyelam-penyelam ini sebenarnya adalah mereka-mereka yang melakukan aktiviti pemuliharaan dan melakukan banyak kajian mengenai ekosistem laut.

Jika Pakatan Harapan berjaya membentuk Kerajaan Negeri selepas Pilihanraya Umum Ke-14, saya melihat PH perlu melakukan banyak kerja untuk memperbaiki kerosakan dan kemunsnahan alam sekitar terutama kawasan laut di Johor. Kita perlu kembali ke meja rundingan bersama-sama dengan kesemua pemegang taruh yang terlibat, bawa mereka kembali bersama-sama dalam pembangunan.

Sebagai contoh, nelayan-nelayan sedia ada di pulau-pulau yang terlibat tidak boleh diketepikan. Kita perlu kepada bagaimana kita boleh memanfaatkan kemahiran yang dimiliki oleh nelayan ini dan memindahkan mereka kepada industri lain.

Industri akua-kultur berimpak rendah seperti ternakan tiram boleh diperkenalkan kepada nelayan-nelayan sebagai satu sumber pendapatan sampingan dan Industri sebegini tidak memerlukan nelayan untuk melakukannya secara sepenuh masa.

Pakatan Harapan juga perlu membentangkan satu rancangan pemuliharaan yang menang-menang antara pembangunan, alam sekitar dan penduduk pulau. Kita perlu serius mencari bidang-bidang eko-pelancongan yang boleh dijalankan oleh penduduk pulau tanpa merosakkan alam sekitar.

TJ : Dalam konteks tempatan, selama hampir sepenggal menjadi Adun dikawasan Bentayan, bagaimana YB melihat prestasi PBT Muar khususnya khidmat Ahli-ahli Majlis? Apakah ada saranan untuk penambahbaikkan khidmat PBT dan Ahli Majlis?

YB Vincent : Kebanyakan Ahli Majlis kalau pun tidak semua tidak menumpu kepada kerja-kerja penyelenggaraan sebaliknya lebih berminat untuk memfokuskan kepada projek-projek baru. Akan tetapi, projek-projek yang di buat ini tidak mempunyai jangka hayat atau perancangan masa panjang.

Ahli-ahli Majlis ini kelihatan kurang mempunyai rasa bertanggungjwab ekoran daripada mereka-mereka ini tidak dilantik secara langsung oleh rakyat. Oleh yang demikian, mereka menjadi kurang bertanggungjawab kerana mereka tidak mempunyai apa-apa kerugian jika tidak berkhidmat kepada rakyat.

Muar juga sebenarnya berdepan dengan masalah tempat letak kenderaan yang kritikal. Petak-petak parkir sedia ada tidak mencukupi. Setiap hari terdapat pertambahan bilangan pendaftaran kenderaan baru, tetapi telah hampir 10 tahun  kita tidak menambah bilangan lot parkir.

Lebih buruk, ada pula lot parkir dimansuhkan untuk memberikan laluan kepada pengenalan projek seperti Pusat Perniagaan yang menggunakan kontena dan Maharani Uptown. Benar, pembangunan itu baik tetapi jikalau ia tidak mempunyai kawasan parkir yang mencukupi, bagaimana pelanggan kita boleh meletakkan kenderaan mereka untuk berkunjung ke pusat perniagaan.

Ramai juga Yang Dipertua dan Pegawai PBT bukan dari kalangan orang tempatan, jadi mereka ini tidak mempunyai sentiment terhadap keperluan sesebuah kawasan dalam operasi mereka. Setiap bandar atau kawasan berbeza keperluan mereka. Sebagai contoh, di Muar sangat memerlukan petak parkir tetapi mungkin di Johor Bahru, mereka lebih memerlukan satu rancangan mengelakkan banjir kilat.

TJ : Berkiatan politik negeri Johor, Tuanku Sultan ada menyarankan agar ditubuhkan Bank of Johor, bagaimana YB melihat saranan ini dalam konteks ekonomi tempatan?

YB Vincent : Saya merasakan dari segi perlaksanaannya, ia mungkin sukar. Bank Negara sejak sedekad yang lalu telah memulakan usaha untuk menggabungkan bank-bank kecil. Ini kerana kita telah memasuki satu abad globalisasi dimana bank-bank kecil mungkin tidak boleh bertahan dengan cabaran globalisasi ini.

Ia adalah jalan yang sukar untuk Bank of Johor bertahan jika sekadar tertumpu kepada bangsa Johor dan pinjaman jual-beli rumah. Bank yang bersaiz kecil, jika tidak mampu menawarkan kadar faedah yang rendah, bagaimana pula ia akan mampu menarik perhatian pelanggan? Akhirnya nanti Kerajaan Negeri akan menanggung bebannya.

Jika kita ingin menubuhkan sebuah bank, adalah lebih baik jika kita menumpukan kepada aspek saiz bank itu, pasaran yang ingin ditembusi mestilah luas dan mempunyai kepelbagaian skop perniagaannya.

TJ : Akhir sekali, dengan prestasi kerajaan BN di Johor, apakah YB boleh memberi gambaran cabaran bagi Dap dan PH johor untuk melakukan upset dalam PRU 14 yang akan datang?

YB Vincent : Saya merasakan Barisan Nasional hanya banyak bercakap tetapi ia tidak mempunyai apa-apa sebenarnya. Macam tong kosong. Berbunyi kuat apabila dipalu, tetapi ia tetap sebuah tong kosong. Seperti mana mereka melaungkan Forest City sebagai pelaburan asing. Sebenarnya ini bukanlah pelaburan asing yang kita mahukan. Pelaburan asing yang kita perlukan adalah pelaburan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan kewangan.

Apa yang berlaku di Johor adalah kita menjual tanah dengan harga murah kepada pelabur asing. Pelabur asing ini membina rumah-rumah yang mahal dan menjualnya dengan harga yang sangat mahal kepada orang-orang luar untuk dijadikan rumah kedua mereka. Mereka tidak menetap di sini.

Selain itu, ia mencipta keadaan tidak sekata dari segi permintaan dan penawaran rumah-rumah. Di bahagian barat Iskandar, banyak kawasan perumahan baru dibina tetapi industry lebih banyak tertumpu di kawasan timur Iskandar seperti RAPID Pengerang. Adakah pekerja-pekerja ini akan membeli rumah di bahagian barat dan kemudiannya terpaksa memandu selama satu jam lebih untuk ke tempat kerja di bahagian timur Iskandar.

Kerajaan Negeri juga kononnya menaikkan perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2017 tetapi semuanya adalah untuk projek-projek bangunan kerajaan. Itu bukanlah pembangunan yang memberikan kesan kepada negeri Johor.

Isu-isu sebegini sebenarnya akan membuka mata rakyat untuk melihat dan menilai ketidakcekapan Kerajaan Negeri dalam mengurus sumber dan mencari pelaburan asing dalam bidang strategik. Saya optimis Pakatan Harapan akan mampu kejutan. Apa yang penting adalah kita semua berusaha gigih dan bekerjasama untuk menumbangkan Barisan Nasional di Johor.

Mengenai tjadmin

Check Also

steve jobs

Bagaimana Dengan Pejabat Steve Jobs Selepas Kematiannya?

Pejabat lama ikon Steve Jobs di Apple masih kekal hampir tidak disentuh sejak kematiannya pada ...

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>