Friday , January 19 2018
Home / Ambil Tahu / Reviu Filem ‘SNOWDEN’

Reviu Filem ‘SNOWDEN’


Snowden 2Bagi yang menggemari filem serius, aksi dan drama, maka anda disarankan untuk menonton filem ini. Ia berdasarkan kisah benar seorang kontraktor pertahanan yang bekerja dengan Agensi Perisikan Pusat CIA.

Filem ini diterbitkan pada 2016 selepas filem CitizenFour. Bergenre Triller, aksi dan Biografi, berbeza dengan CitizenFour yang bergenre Dokumentari. Filem ini diarahkan oleh pengarah tersohor Oliver Stone dan dibintangi oleh Joseph Gordon-Levitt. Filem ini diadaptasi dari sebuah buku novel yang berjudul “The Snowden Files : In Inside Story of The World’s Most Wanted Man” yang ditulis oleh Lucas Harding.

Ringkasan Cerita

Pada tahun 2013, Edward Snowden, watak yang dimainkan oleh Joseph Gordon-Levitt, telah mengatur satu perjumpaan sulit di tengah-tengah kotaraya Hong Kong dengan seorang dokumentator yang bernama Laura Poitras, lakonan aktress Melissa Leo dan ditemani oleh seorang wartawan Glenn Greenwald lakonan Zachary Quinto.

Perjumpaan sulit tersebut berlaku disebuah bilik hotel The Mira dimana mereka membincangkan tentang suatu usaha untuk membocorkan satu maklumat rahsia yang dimilikinya mengenai projek sulit berskala besar iaitu sistem pengintipan rahsia yang dijalankan secara haram oleh Agensi Keselamatan Negara ( National Security Agency – NSA).

Filem ini mengimbas kembali babak-babak awal pembabitan seorang anak muda bernama Edward Snowden yang sedang giat menjalani latihan asas ketenteraan pada tahun 2004. Namun, latihan beliau ini terhenti apabila telah berlaku satu insiden kecederaan kakinya ketika Snowden bersiap untuk memulakan rutin latihan.

Dengan kecederaannya itu, doktor memutuskan agar beliau dikeluarkan dari menjalani latihan rekrut tentera AS. Beliau dinasihatkan oleh doktor untuk berkhidmat kepada negaranya dengan cara yang lain.

Keinginan Snowden untuk berkhidmat kepada negaranya terus membuak-buak. Selepas sembuh dari kecederaan kakinya, dia memohon satu jawatan di Agensi Perisikan Pusat CIA dan kemudiannya beliau berjaya menempatkan diri dan menjalani proses saringan.

Dalam sesi saringan menerusi temuduga, beliau memberi jawapan yang kurang meyakinkan jurulatihnya, namun begitu Timbalan Pengarah Corbin O’Brian lakonan Rhys Ifans mengambil keputusan untuk memberi peluang kepada Snowden.

Snowden kemudiannya dibawa ke satu pusat latihan yang dinamakan “The Hill” di mana dia dilatih dan diuji dalam peperangan siber (cyber war).

Di sinilah beliau mengetahui mengenai Akta Pengawasan Perisikan Asing (Foreign Intelligence Surveillance Act – FISA) yang berkuasa untuk mengabaikan hak Pindaan Keempat rakyat Amerika Syarikat dengan membenarkan permintaan waran ( untuk tujuan pengintipan) yang akan diluluskan oleh panel hakim yang dilantik oleh pentadbiran.

Dalam satu tugasan semasa sesi latihan ini, Snowden dan rakan-rakan pelatihnya ditugaskan untuk membina satu rangkaian komunikasi rahsia disatu lokasi yang ditetapkan, kemudian memadamkannya kembali dan seterusnya membina semula rangkaian tersebut dalam tempoh lapan jam atau kurang.

Tetapi hanya dalam tempoh 38 minit, Snowden berjaya mengejutkan jurulatihnya O’Brian apabila menyiapkan semua tugasan tersebut.

Sementara itu, Snowden mula mengenali Lindsay Mills lakonan bintang Shailene Woodley yang dikenalinya melalui laman web dating. Kedua-dua pasangan ini mempunyai perbezaan ideologi politik yang ketara, Lindsay Mills lebih cenderung kepada ideologi yang lebih liberal, yang percaya bahawa rakyat biasa wajar mempersoalkan tindak-tanduk kerajaan, manakala Snowden pula percaya kesetiaannya kepada negara menghalangnya dari bersikap seperti Mills.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pasangan ini saling menyukai dan mereka mula berpacaran. Selepas itu Snowden mendapat tugasan yang pertamanya di luar negara dengan pegawai diplomatik di Geneva pada tahun 2007. Dia membawa Mills bersamanya.Snowden 3

Ketika di Geneva, Snowden bertemu dengan Gabriel Sol (lakonan Ben Schnetzer) yang mempunyai pengalaman luas dalam pengintipan elektronik. Ketika cuba untuk mencari kaitan antara pengganas dengan seorang ahli perniagaan Pakistan yang kelihatan bersih, Snowden terdedah kepada amalan dan program yang menyebabkan dia mempersoalkan implikasi etika dan moral terhadap apa yang mereka semua lakukan.

Dalam satu babak dari filem ini, Gabriel menunjukkan demonstrasi secara langsung bagaimana operasi pengintipan dilakukan. Sistem ini mampu menghidupkan laptop yang ditutup dan memintas rakaman kamera laptop untuk melihat apa yang berlaku dalam masa sebenar (real time) tanpa disedari oleh pemilik laptop itu. Demonstrasi ini cukup menggerunkan Snowden.

Kembali dengan sasaran ahli perniagaan Pakistan, apabila pegawai atasannya (aktor Timothy Olyphant) mahu memerangkap ahli perniagaan Pakistan itu atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk dengan niat untuk mendapatkan maklumat perisikan daripada lelaki itu, Snowden merasa berat hati dan setelah itu beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya di Geneva.

Snowden kemudiannya ditugaskan dengan NSA di Jepun. Semasa di Jepun, beliau telah membina satu program khas, yang mana program ini akan membolehkan kerajaan AS mengumpul semua data-data kritikal dari Timur Tengah sekiranya berlaku serangan siber yang yang mungkin akan menjejaskan peralatan dan sistem mereka. Snowden menamakan program ciptaannya sebagai “Shelter Epic”.

Setelah beberapa lama, Snowden mula mendapat tahu tentang amalan NSA dan agensi Kerajaan AS yang lain bahawa mereka tidak hanya menggunakan program “Shelter Epic” ini di Jepun, sebaliknya ia turut digunakan dikebanyakan negara-negara yang bersekutu dengan AS.

Amalan lain termasuk pemasangan sistem khas (planting malware) di dalam komputer lain yang menguruskan hal-ehwal pentadbiran kerajaan, infrastruktur termasuk sistem yang mengurus sektor kewangan.

Ia bagi tujuan persediaan sekiranya wujud mana-mana sekutu yang bertindak berpaling tadah menentang Amerika Syarikat, sistem dinegara tersebut boleh diserang (shutdown) dengan cepat sebagai langkah membalas dendam kerajaan AS.

Keadaan ini telah menimbulkan tekanan kepada Snowden dan ianya telah menjejaskan hubungan beliau dengan kekasihnya, Mills. Akhirnya, mereka berpisah dan Mills kembali ke Maryland bersama keluarganya.

Tiga bulan kemudian, Snowden telah meninggalkan jawatannya dengan NSA dan kembali ke Maryland di mana beliau dan Mills bersama semula. Snowden mengambil keputusan untuk terus bekerja sebagai perunding dengan CIA.

Selepas kembali, dia ditawarkan sekali lagi untuk bekerja dalam satu projek khas di Hawaii. Namun Snowden berbelah bagi samada mahu menerima tawaran tersebut atau tidak, dia memikirkan implikasi terhadap hubungannya dengan Mills.

SnowdenNamun, hanya selepas dia didapati menghidap penyakit saraf (epilepsi), baharulah kekasihnya, Mills mencadangkan agar beliau menerima tawaran itu memandangkan persekitaran Hawaii mungkin mampu membantu meredakan penyakitnya.

Ketika bekerja di Hawaii inilah Snowden mendapat tahu bahawa sistem yang diciptanya “Epic Shelter” digunakan untuk lebih daripada dari satu tujuan, iaitu membantu operasi Drone tentera AS melancarkan siri-siri serangan maut terhadap suspek pengganas di Afghanistan.

Snowden menjadi semakin kecewa dengan apa yang telah berlaku atas usahanya, dia semakin banyak melihat operasi pengintipan haram dan pembohongan pemimpin NSA kepada Kongres dan rakyat Amerika mengenai aktiviti pengawasan dan pengintipan haram tersebut, Snowden semakin ragu dengan kerjayanya.

Sebagai kemuncak, Snowden mengambil keputusan untuk menyeludup rahsia tersebut dengan memindahkan semua data dan maklumat penting berkaitan sistem dan operasi pengintipan haram ini.

Dengan bantuan rakannya Ewan MacAskill (Tom Wilkinson), maklumat yang diseludup itu berjaya diterbitkan menerusi media massa pada 5 Jun 2013, disertai dengan maklumat-maklumat rahsia yang lain pada hari-hari berikutnya. Berita ini menggemparkan dunia.

Selepas itu, Snowden menjadi orang yang paling dikehendaki (wanted) oleh kerajaan AS. Dengan bantuan MacAskill, Greenwald dan Poitras, beliau berjaya diseludup keluar dari Hong Kong dalam penerbangan menuju ke Amerika Latin melalui Rusia.

Walau bagaimanapun, kerajaan Amerika Syarikat telah membatalkan pasportnya, ini memaksa beliau untuk tinggal di Moscow Russia buat selama-lamanya. Dia akhirnya ditawarkan suaka politik selama tiga tahun. Setelah itu, kekasihnya Mills menuruti Snowden dan tinggal bersama dengannya hinggi kini.

Mengenai tjadmin

Check Also

THP

Segera Semak Daftar Pemilih Anda – Tan Hong Pin

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun 3/2017 selama 14 ...

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>