Wednesday , October 18 2017
Home / Ambil Tahu / DILEMA DAP JOHOR 

DILEMA DAP JOHOR 

Noor Azleen Bin AmbrosMenjawab Ulasan Wakil DAP Johor

 

Oleh:   Noor Azleen Bin Ambros

Penolong Setiausaha

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang

 

Pada 19 April 2016 yang lepas dalam portal rasmi parti DAP, Saudara Mahdzir Ibrahim telah membuat hujahan balas terhadap komen dan pandangan yang telah diutarakan oleh Tan Sri Shahrir Samad mengenai dakwaan YB Liew Chin Tong bahawa Pakatan Harapan boleh memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 11 kerusi Parlimen di Johor pada pilihanraya umum akan datang.

DAP Johor Kekeringan Idea?

Pertama, polemik yang dicetuskan ini adalah hasil manifestasi kerisauan Pengarah Pendidikan Politik DAP terhadap prestasi semasa DAP Johor itu sendiri yang seolah-olah sudah kekeringan idea. Ia dapat dilihat melalui hujahan-hujahan dangkal oleh sesetengah ADUN DAP di Johor termasuklah desakan pemberhentian Projek RAPID di Pengerang akibat kejatuhan harga minyak global. Ini jelas menunjukkan sikap sambil lewa dan acuh tidak acuh DAP Johor yang hanya ingin membangkitkan isu tanpa memahami asas dan selok-belok industri minyak dan gas (oil & gas) kerana rantaian bekalan (supply chain) bagi industri minyak dan gas adalah berdasarkan mekanisme huluan (upstream) dan hiliran (downstream).

Masalah kekeringan idea ini juga dapat dilihat ketika perbahasan di Dewan Undangan Negeri baru-baru ini di mana pihak DAP seolah-olah terdesak untuk mengambil kredit daripada hasil usaha Kerajaan Barisan Nasional Johor memperkenalkan bas percuma Muafakat Johor. Keterdesakkan ini telah memaksa YB Liew Chin Tong untuk memberikan ‘suntikan semangat’ kepada DAP Johor bagi mencari wadah perjuangan yang lebih jelas.

Calon atau parti? 

Kedua, saudara Mahdzir Ibrahim dalam penulisannya ada menyatakan bahawa rata-rata kerusi yang dimenangi DAP khususnya di Johor bukanlah atas faktor ketokohan calon (kecuali Gelang Patah), sebaliknya atas sokongan kepada parti politik. Beliau menambah banyak kerusi DUN yang dimenangi DAP yang mana calon-calonnya di bawah usia 35 tahun yang tiada pengalaman luas seperti calon Barisan Nasional.

Ini jelas menunjukkan sikap bongkak DAP dengan memandang rendah kematangan pengundi di Johor. Hasil kebongkakan inilah lahirnya wakil rakyat daripada parti DAP yang gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebaik mungkin sebagai seorang wakil rakyat, sebaliknya hanya menempel nama terhadap usaha-usaha yang telah Kerajaan Barisan Nasional Johor lakukan selama ini dan lebih parah lagi wakil rakyat DAP ini gagal untuk bekerja dan memberikan hujahan yang bersifat konstruktif di Dewan Undangan Negeri.

Sedar akan permasalahan ini, DAP Johor dilihat cuba untuk mencari formula baru dalam usaha untuk mengagalkan agenda besar yang ingin dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional Johor termasuklah kritikan tanpa asas terhadap Pelan Pertumbuhan Strategik Johor yang kelak akan memberikan limpahan ekonomi yang lebih inklusif ke serata Johor.

Bagaimana dengan PKR, Amanah? 

Dilema yang dihadapi oleh DAP Johor ini sedikit sebanyak dirasai oleh kedua-dua parti pembangkang yang lain iaitu PKR dan Amanah yang kini seakan-akan kehilangan arah tuju. Sudah jelas selama ini Pakatan Harapan Johor didominasi oleh parti DAP. Ketakutan dan kekeliruan parti seperti PKR dan Amanah jelas apabila mereka hanya bergantung harap kepada DAP sahaja untuk menjalankan gerakan politik di Johor. Amanah yang sepatutnya mengambil alih tugas PAS untuk menarik pengundi-pengundi Melayu jelas gagal untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Ini juga adalah akibat daripada masalah dalaman parti yang dialami oleh DAP Johor akibat penyingkiran Pengerusi DAP Johor, YB Dr Boo Cheng Hau.  YB Dr Boo dalam kenyataan medianya jelas menyatakan beliau telah ditikam dari belakang oleh rakan-rakan dalam partinya sendiri. Selain itu, YB Dr Boo sendiri menyatakan bahawa beliau tidak sanggup lagi menjadi kuda tunggangan kepada individu tertentu yang cuba merosakkan keharmonian politik di Johor.

Maka, tekanan yang diberikan oleh YB Liew Chin Tong kepada PKR dan Amanah dilihat sebagai senjata sulit beliau bagi memastikan jentera PKR dan Amanah bekerja keras untuk menyumbang sembilan lagi kerusi yang dinyatakan oleh beliau sendiri. Ketika ini, DAP Johor dilihat bersendirian tanpa suatu ikatan yang jelas dengan pergolakan dalaman parti DAP itu sendiri. Tindakan ini adalah hasil ketidak percayaan YB Liew Cing Tong terhadap rakan-rakan parti komponennya sendiri.

Dan saya yakin dan percaya bahawa rakyat dan pengundi masih waras dalam membuat keputusan untuk memberi mandat kepada satu perikatan yang utuh, jelas ideologi perjuangannya iaitu Barisan Nasional di Johor.

Muafakat Johor

Jika saudara Mahdzir Ibrahim mengakhiri penulisan beliau dengan melontarkan persoalan berkenaan pilihan BN Johor samada ingin bersama Presiden atau Parti? Persoalan sebegini sering kali dibangkitkan oleh DAP dalam usaha mereka untuk memecah belahkan kemuafakatan Bangsa Johor yang telah sekian lama wujud. DAP perlu sedar bahawa kemuafakatan BN Johor bukan disebabkan oleh kepentingan politik semata-mata tetapi ianya merangkumi aspek perjuangan dan kemandirian Bangsa Johor sebagai satu bangsa yang bertamadun. Ketamadunan Bangsa Johor inilah menjadi asas perjuangan BN Johor selama ini.

Tika DAP Johor sedang sibuk berpolitik, melontarkan fitnah dan membangkitkan isu-isu yang dilihat tidak relevan, Kerajaan Barisan Nasional Johor terus kukuh berusaha menjamin ketamadunan Bangsa Johor dapat dimajukan di samping menyediakan penyelesaian konkrit terhadap pelbagai isu serta permasalahan semasa.

Mengenai tjadmin

Check Also

mazir

‘Retain and Regain’ – Langkah Orang Sedang Kalah. oleh Mahdzir Ibrahim

  Saya memberi hipotesis dengan tajuk di atas dengan beberapa pandangan yang saya amati berdasarkan ...

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>